Dengan Nama Allah.

Dengan Nama Allah.

Sayang Kamu

Thursday, August 26, 2010

Merisik Khabar....

Bismillah..

"Owg baru baik demam kak, 4 hari tak boleh bangun...anak2 sihat...akak ngan anak2 sihat? Eika mcmne? sejak abah dia meninggal dia tk penah msg owg, owg kat Pokok Mangga umah flat, owg nak g mana kak, dah takde sape dah"

Itulah balasan sms yang aku terima setelah merisik khabar pada isteri arwah bekas suamiku, kesian dan sedih dengan khabar yang aku terima....tapi apa dayaku...aku jauh di sini...tiada kenderaan untuk menziarah..hanya sms dan panggilan telefon jadi penghubung kami....dan doa muga dia sentiasa diberi kekuatan ketabahan untuk membesarkan anak2 tanpa suami.

Setiap hujung bulan aku akan memasukkan sedikit wang belanja untuk adik anak2ku..walaupun tak banyak aku rasa cukuplah untuk membeli susu dan pampers anak2nya..aku tak mampu untuk memberi lebih memandangkan keadaan ekonomiku pun tidak sekukuh mana..bagaimana agaknya persiapan hari raya untuk anak2nya...

Aku dapat rasa apa yg dia rasa..kehilangan suami saat anak2 masih kecil dan sangat memerlukan perhatian dari seorang ayah, aku sangat beruntung kerana mempunyai pekerjaan saat aku kehilangan suami dulu.....anak2ku? apa yang mereka rasa? bertahun hidup tanpa seorang lelaki bernama ayah, aku tidak dapat menyelami hati mereka...apa perasaan mereka...

Aku pernah bertanya.."Abg dengan adik rasa apa abah dah takde?" abg hanya senyap, adik datang memeluk dan mencium pipiku.... "Adik dengan abg nak abah baru tak" aku bertanya sekadar menduga...... kedua2 anak2ku mengeleng kepala..."Tak tahu" kata mereka dua patah, aku tahu tentu sukar bagi mereka untuk menerima orang baru dalam hidup mereka...begitu juga aku...rasanya lebih selesa hidup begini...soal ajal maut, jodoh pertemuan aku serahkan pada Allah SWT....Dia yang penentu segalanya.

Kiranya aku sangat beruntung, hingga usiaku begini aku masih punya emak dan abah..tempat aku mengadu dan bercerita, balik kampung ada tujuan dan seseorang nak aku temui....namun aku tetap bersyukur kerana anak2 masih ada aku.

*************************************************************************************

Pejam celik pejam celik dah masuk hari ke 16 kita menjalani ibadah puasa...alhamdulillah sepanjang 16 hari ini aku diberi kesihatan yang baik..tempahan almond london telah separuh aku siapkan..insyallah sebelum 31 ogos ini semua tempahan akan aku siapkan dan agih2kan kepada pembeli..malam ini aku kena siapkan 10 botol untuk diambil pagi2 esuk.

Dalam kesibukan..hanya waktu2 begini aku dapat merisik kabar di sini, ke sebuah dunia yang tiada sempadan, mencuri2 ziarah ke blog kawan2 mana yang termampu...jadual harian ku sangat padat..kerja, rumahtangga,anak2, masak, buat kueh, sesekali up date blog dan peruntukan waktu untuk beribadah..itu yang paling penting..

Ada orang bertanya..bagaimana aku membahagi masa dan tenaga antara keja dan mengambil tempahan biskut raya? bagaimana staminaku yang bukan muda lagi...alhamdulillah..bagiku bila melakukan sesuatu dengan niat mencari rezeki untuk anak2 pasti kekuatan itu datang...soal penat dan letih itu tetap ada namun segalanya ku ketepikan bila aku bayangkan bagaimana orang2 yang bekerja di bawah panas terik matahari..mereka lebih teruk dibanding dengan aku yang membuat kueh sambil bersantai2 mendengar radio atau menonton tv..

Mudah2an kita semua dipermudahkan dalam apa saja urusan di dunia dan akhirat...

ps mulai esuk aku akan bercuti hingga 31 ogos - akan aku manafaatkan sebaik mungkin...Selamat bercuti....

Sunday, August 22, 2010

Bila adap dia ni hilang rasa penat....

Semalam segala perancangan tertunda dan berubah tidak seperti yang dirancang, Alhamdulillah perancangan hari ini menjadi......seawal pagi aku sudah memulakan projek membuat pastri almond london....walaupun tak mencapai target namun aku rasa dah puas hati...

Sewaktu menulis enrty ini ada 2 tray lagi sedang menanti untuk dibakar......kedua2 tapak tanganku rasa sengal2 dan membengkak..hehehe..bahana banyak sangat menguli tepung...(gambar akan di letak kemudian) sebanyak 8 adunan dapat aku siapkan sejak pagi (banyak break tu sebab tak dpt buat 10 adunan) Alhamdulillah dah rasa lega sikit kerana suku daripada tempahan dapat aku siapkan...

Penat...letih..sakit2 belakang? bohonglah kalau aku kata tidak..berpadanan dengan usiaku yang bukan 30 an lagi....walaupun berbagai supplement aku ambil, ia tetap tak sama seperti 10 tahun lepas...aku memang tidak boleh melawan arus..dan sedar diri ini tidak sekuat dulu...namun dalam usia yang sedang memanjat senja aku masih berupaya menjadi pekerja yang dedikasi dan menjadi ibubapa dalam satu masa, disamping mengambil tempahan biskut raya...mudah2an aku akan terus diberi kekuatan ini.

Awalnya tak mahu adap dia..tapi hati kecil mendesak...adaplah sekejap...sementara tunggu biskut dibakar...bila adap je dia ....badan yang sengal2, tangan yg membengkak, segala rasa letih tu terus berkurang...tu lah...buah hati tempat mengadu...bila adap je muka dia mesti hilang segala keletihan dan kepenatan...aku memang tak boleh berenggang dengannya walau seharipun..sibuk2pun mesti nak adap dia juga..tapi kelak aku terpaksa lupakan dia sekejap, terpaksa..... sebab nak siapkan tempahan ni..takut asik dok mengadap muka dia, tempahan tak siap pulak...siapa dia ni...blog aku lah 'idalara'

ps Di sini tempat aku luahkan segalanya...berkongsi suka duka dengan teman2 yang sewaktu denganku..andai suka terimalah seadanya, andai ada yg terluka...dan tak suka..abaikan saja..kerana aku hanya wanita biasa.

Saturday, August 21, 2010

Aku merancang....DIA yang menentukan...

Bismillahirrahmannirrahim...

Sejak malam tadi (semasa sedang membakar badam) aku merancang nak mula buat pasrty almond london..sabtu ahad, kalau dibuat seawal pagi aku boleh dapat 2 ribu biji menjelang petang..

Sesudah subuh aku mula membasuh kain baju(mesin yg basuh) mengemas dapur dan menyapu apa yg patut..keja2ku selesai dalam pukul 9 pagi..tiba2 aku teringat temujanji dengan orang yang akan membaiki talian telefon di ofis..jadi ke tak..aku menghantar sms bertanyakan temu janji tersebut..'jadi' katanya...aku merancang...buat itu ini..tapi Allah yang tentukan begitu begini...

Terpaksalah aku ke opis (sebab aku dok sebelah, alah2 guard gitu)......gitu gini sudahnya pukul 12.30 juga baru siap keja2 tersebut.., nampaknya cancel lah nak buat biskut...balik rumah buka astro...sambil2 melipat kain, aku melihat rancangan ulangan 'Merisik khabar' yang dihostkan oleh Aznil Hj Nawawi yg tetap maintain hensem.Rancangan ini sesuai untuk ditonton oleh kita yg terlebih makan, terlebih baju, terlebih duit, terlebih rumah dan terlebih apa saja...termasuk kasih syg...

Tak semena2 airmata aku mengalir bila melihat kisah mak cik Petimah ini yg tidak dipedulikan anak2nya (mungkin ada sebabnya hanya Allah yg Maha tahu)......dan tak semena2 aku terkenangkan mak dan abah di kampung..aku memang cepat terasa bila melihat kisah2 ibu bapa yg dilupakan anak2, yang diabaikan anak2..apa pun kesilapan mereka, apa pun dosa mereka (kecualilah mereka buang kita tepi tong sampah atau tepi masjid) mereka tetap ibu dan bapa yang melahirkan kita.... Tiada mereka tiadalah kita di dunia ini...tetiba juga aku rasa nak balik jumpa mak dan abah aku, berbuka puasa dan bertarawikh bersama, mak aku mesti gembira sgt.......tapi nampaknya bukan sekarang....masa betul2 tak mengizinkan..maafkan aku mak.........dan tiba2 juga aku telalu rindu pada saat2 bahagia aku bersama dia yang telah pergi.........puasa bersama, berbuka bersama, bersahur bersama, bertarawikh bersama.. berpakaian sedondon di pagi raya....dan melihat dia sangat teruja menikmati rendang cili padi kegemarannya.......

ps muga dia damai di sana, muga diterima segala amalannya....muga dia ditempatkan dikalangan insan2 yang beriman.

ps..baru lepas bersembang dengan mak...kan dah kata..mak tanya.."tak balik ke"...aduhai mak....janji dengan mak 3 hari lagi sebelum raya insyallah aku balik.

Apabila terlalu banyak tidur...zzzzzZZZZZZZ

Bismillah..Banyak tidur adalah antara sifat yang perlu kita jauhi. Kerana orang yang terlalu kerap tidur terutamanya pada waktu siang akan melemahkan semangat untuk bekerja dan beramal ibadat. Ulama terkemuka berkata, kehidupan manusia sehari hendaklah dibahagikan kepada 3, iaitu 8 jam untuk beribadat, 8 jam untuk mencari nafkah dan 8 jam untuk istirehat dan tidur.Jika seseorang tidur mulai jam 10.00 malam hingga 8.00 pagi esuknya dan disambung dari jam 1.00 tengahari hingga jam 5.00 petang, maka dia telah tidur selama 14 jam. Sepanjang waktu dia tidur itu dia telah meninggalkan solat Subuh dan Zohor...tubuh badan juga menjadi lemah dan tidak bermaya akibat dari terlalu lama tidur.

Sikap terlalu mementingkan agama hingga melupakan kewajipan dan tanggungjawab kita di dunia juga tidak baik. Janganlah terlalu menyusahkan diri hingga tidak lekang dari sejadah, berzikir dari pagi hingga tengahari kemudian disambng dari malam hingga ke subuh.Ada juga yang mengasingkan diri dari keluarga hingga lupa memberi nafkah zahir batin pada isteri dan anak-anak.

Dalam pada itu sikap terlalu meringankan azab dan siksaan Allah juga dianggap tercela, sikap acuh tak acuh dan memandang rendah hukum dan tegahan Agama menyebabkan seseorang tidak takut membuat maksiat dan kejahatan.

"buatlah 5 perkara sebelum 5 perkara:

1. Peluang masa muda sebelum tua
2. Masa sihat sebelum sakit
3. Masa Kaya sebelum miskin
4. Masa lapang sebelum sibuk
5. Masa Hidup sebelum mati

ps Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk bangun setelah tidur malamnya....

Thursday, August 19, 2010

Putus Sudah Kasih Sayang.....

Bismillah...

Petang semalam ke bazar Ramadhan di BBST bersama seorang ofismate...mujur cuaca terang benderang, agak selesa nak membeli apa yang patut, selalunya aku hanya membeli kueh mueh untuk di makan selepas solat tarawikh, (waktu berbuka kami anakberanak makan nasi)....Setelah puas meronda dari pangkal ke hujung, sudah sampai masanya untuk balik.Dalam perjalanan ke kereta, tiba2 aku rasa langkah kaki sebelah kiriku agak berat..ish..apa pulak yang melekat kat kasut ni..bila tenguk pada tapak kasut, tak ada apa2 yang melekat..aku teruskan perjalanan dengan rasa cukup tak selesa..terpaksa berjalan perlahan2 hingga sampai ke kereta...
Bila sampai di kereta...terkejut juga aku lihat apa yg berlaku pada kasut kesayangan aku ini...rupanya tumit kasut dah hampir nak berpisah dari tapaknya!! mujurlah tak tercabut semasa sedang membeli.....dah hampir setahun kasut ini berjasa padaku, sangat selesa dipakai walaupun aku berjalan sejauh stesen komuter Seremban ke Terminal 1, kasut berjenama dot,dot,dot.... yang aku beli di Sogo dengan harga RM23.90 dari harga asal RM89.90.......

Rasa berbaloi memakai hampir setahun, puas aku lenjankan ke sana ke mari.....mujurlah harganya murah saja, kalau harganyaRM89.90 aku rasa ralat juga....mungkin dah sampai masanya dia berehat terus dari berkhidmat denganku...dan diganti dengan yang baru...(macam tau2 je dah nak raya...)

p/s yang lama tetap dalam ingatan walaupun sudah ada yang baru...

Tuesday, August 17, 2010

Pegang lah api....

Ada seorang yang sangat soleh patuh kepada perintah agamanya dan sentiasa menjaga diri daripada segala rupa maksiat dan keburukan, sehingga pada satu malam terlintas di dalam hatinya hendak berzina dengan seorang wanita jelita kerana terpesona dengan kejelitaannya.

Kebetulan pada ketika itu , disampingnya ada sebuah pelita yang baru saja dinyalakan untuk menerangi rumah orang soleh itu. Maka dia pun terus menajamkan pandangannya kepada api yang sedang menyala-nyala pada sumbu pelita itu.

Kemudian dia berbisik pada dirinya sendiri :
"Engkau mengajak aku melakukan perbuatan terkutuk dengan wanita itu? Baiklah! aku akan letakkan jariku ini di atas sumbu pelita yang menyala itu, kiranya ia tahan panasnya, nescaya aku akan turutkan kemahuanmu itu".

Maka orang soleh itu pun meletakkan jarinya di atas sumbu tadi. Dia cuba menahan diri dari kepanasannya, sehingga hampir-hampir nyawanya akan tercabut kerana tidak tahan panas yang dideritanya itu.

Lalu segeralah dia berteriak: "wahai jiwa, tahniahlah engkau! rupanya engkau tidak tidak tahan. Ini baru daripada kepanasan api dunia engkau sudah tidak tahan, padahal api dunia ini telah disejukkan oleh Allah SWT dengan air sebanyak 70 kali agar manusa boleh bertentang dengannya. Kalau hanya menghadapi api dunia, engkau sudah tidak tahan, apatah lagi untuk menghadapi api neraka, yang panasnya 70kali ganda lebih dahsyat daripada api dunia ini"

Lalu orang soleh itu pun berpaling daripada niatnya yang mula-mula tadi. Sejak hari itu hatinya tidak pernah diganggu lagi oleh lintasan buruk seperti itu.

"janganlah kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu sangat keji dan jalan yang amat jahat" - Aurah Al ISraak -ayant 43.

Monday, August 16, 2010

Kesiannya Lelaki...

Bismillah.

Tengahari tadi ke kilnik bawah ofis@rumah, bawa Abdullah Zaki ambil gas...lelahnya menjadi sejak petang semalam..tengah malam tadi batuk tak berhenti...berserta dengan demam...harini dua kali ambil gas...agak lega walaupun batuk masih ada.

Bulan lepas dua kali ambil gas berserta ubat2 hanya dikenakan bayaran RM24..tadi harganya dah meningkat RM36 untuk benda yang sama.....itupun doktor tak kenakan charge pemeriksaan, hanya ubat2 dan ambil gas...ialah..semua barang dah naik harga, tentu ubat2an juga turut terlibat...aku rasa klinik ini termurah dibandingkan klinik2 lain di BBST..sebab itulah klinik ini sentiasa ramai pengunjung... doktornya pulak seorg wanita.

Aku cukup beruntung...kerana tiap kali membawa anak2 ke klinik itu, doktor hanya mengenakan bayaran untuk ubat sahaja..rezeki anak yatim..Alhamdulillah.

Semasa menanti giliran, seorg demi seorang masuk membawa anak atau diri sendiri untuk bertemu doktor..seperti biasa aku akan menjadi pemerhati tetap...dalam klinik telah menanti beberapa orang wanita juga lelaki. Tiba2 masuk seorang wanita yang agak gempal tubuhnya (lbh kurang 65kg) dan bertudung...semua mata tertumpu padanya...

Astagafirullah...bisik hati aku(ampukan aku ya Allah sebab terdetik begitu)..aku pandang muka tiap2 lelaki dalam klinik tersebut....masing2 tak berpaling..hehehe..(kesian..kuranglah pahala puasa kamu hai lelaki2, termasuk aku kot) apa taknya..perempuan tadi tu nak kata tak berseluar tapi berseluar...nak kata berseluar tapi macam tak berseluar...seluarnya TERlalu ketat dari jenis kain jersey..(umpama inner yg kita pakai jika baju jarang).....manakala t-shirt yg dipakai hanya separas pinggang...bayangkanlah keadaanya...aku faham lelaki2 dalam klinik tadi tak tahu mana nak halakan mata mereka kerana perempuan itu berdiri betul2 di hadapan mereka......... Masyaallah..!!

Lepas perempuan tadi keluar, beberapa minit kemudian masuk pula seorg perempuan mendukung anak kecil...(diaorg ni terlupa ke ni bulan puasa...sekurang2nya hormatlah org yg berpuasa)...pakaian yg dikenakan pun ala2 perempuan yg pertama tadi..baju pendek dengan seluar ketat..cuma bezanya dia agak kecil sedikit dari perempuan pertama...sekali lagi lelaki2 dalam klinik tak tahu mana nak halakan mata mereka...alahai....

Siapa harus disalahkan dalam hal ini..tentulah kaum wanita yang berpakaian begitu, walaupun tidak mendedahkan aurat tapi keadaannya tetap sama......lebih memalukan kerana mereka bertudung...aku sendiri rasa amat malu menghadapi situasi begitu....apa agaknya dalam fikiran lelaki2 yg melihatnya waktu itu!!!

Bak kata sorang blogger..mudah menahan diri dari lapar dan dahaga, mulut dan telinga..tapi nak menahan mata dari pandangan beginilah yg agak susah..wahai wanita fikir2kanlah...kerana anda berpakaian seksi dan menggoda...kesian lelaki2 di luar sana.

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanafaat, dari hati yang tidak kyusuk, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dari doa yang tidak diperkenankan"

Sunday, August 15, 2010

Sangat meletihkan jadi tukang masak....(di bulan puasa)

Bismillah..

Kalau lihat pada tajuk kat atas nampak mcm penat sangat memasak di bulan puasa ni..sebenarnya bukan penat tenaga tapi penat minda nak pikir hari2 nak masak apa..selera anak2 masa bulan puasa ni lain sikit..selalunya aku tanya pendapat mereka nak masak apa..bila mereka dah beri menu..senanglah nak masak..inilah menu hari ke 4 berpuasa...layanzzz..
Asam pedas ikan tenggiri, nampak mcm banyak sgt..cuma 3 keping saja yg aku masak, dah siap masak aku call mimi ambil semangkuk..
Sotong goreng tepung ni tak berapa ok tepungnya...tapi anak2 makan tanpa komen apa2...favourite mereka ni..hari2 pun tkpe, cuma aku yg tak tahan poketnya..boleh tahan mahalnya di tempat aku.
Sayur kacang panjang goreng..aku sorg je yang makan sebab anak2 tak suka makan sayur walaupun jenuh aku pujuk makan.
Roti sardin bersalut telur...simple tapi anak2 suka..buat dua keping pun dah cukup.
Inilah my favourite...kuah durian..pun bagi kat mimi semangkuk....makan dengan roti atau begitu saja...(semalam bakinya lupa simpan dlm peti ais..pg tadi dah basi.........ralatnya)

Sudah selamat menu untuk hari ke 4..apa pulak menu hari ini...belum ada cadangan..bila buka peti ais nanti baru plan...memang memeningkan nak pikir apa nk masak, tapi demi anak2 tidak mengapa.....(kalau anak tekak aku sorang sambal goreng dengan ikan goreng pun sodap.)


"Terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu dan jadikanlah dirimu orang-orang yang bersyukur" -(Surah Al-A'Raf:14)

Saturday, August 14, 2010

Email yang menyentuh hati...

Bismillah...

Alhamdulillah sudah masuk hari ke 4 kita menjalani ibadah puasa, syukur Alhamdulillah, kerana sepanjang 4 hari berpuasa ini aku dan anak2 dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa segar dan ceria sepanjang menjalani ibadah mulia ini...satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

Sudah beberapa hari aku tidak bersiaran dan ziarah ke rumah teman2....cuma sesekali menjengah sebentar supaya tidak berabuk dan bersawang, setiap malam lepas Solat Isyak aku menunaikan Solat Sunat Tarawikh di rumah sahaja, seorang diri kerana anak2 ke surau...takpelah yang penting aku berkesempatan melakukan juga.

Biasanya sebelum Ramadhan menjelma banyak pesanan ringkas dan emel yang aku terima, semuanya hampir sama dan biasa2 saja, namun 1 pesanan yang masuk ke kotak emailku ini sungguh berkesan di hatiku, dihantar oleh seseorang...pesanan ringkas ini cukup berkesan di hatiku, tidak pernah aku menerima pesanan begini sebelum ini dan insyallah aku akan melakukannya sedaya mungkin.


" Assalamualaikum Dik,

Selamat menyambut Ramadhan dan cuba banyakkan amal dibulan ini kerana pahalanya berlipat kali ganda dan Allah saja yang Maha Mengetahui..

Cuba buat solat Dhuha tiap pagi antara 8-11 pg.. rakaat pertama baca As-Shamsi selepas Al-Fatihah dan rakaat kedua baca Ad-Dhuha selepas Al-Fatihah.. setiap dua rakaat satu salam.. boleh buat hingga 4/6/8 rakaat..

Kalimah Shahadah jgn tinggal dan kalau boleh 1000 kali sehari...

Tadarrus tiap malam tu buat slowly dgn baca terjemahannya sekali dan fahamkan..

Never miss your Witir too..

Semoga adik abg sentiasa diberkati dan Allah bukakan pintu rezeki bagimu...

Ingat, minum air masak putih 3/4 gelas...specially masa bangun sahur...

Wassalam...




Mudah2an insan yang memberi pesanan ini sentiasa dirahmati dan diberkati hidupnya...mudah2an kita semua sentiasa dirahmati dan diberkati Allah SWT...insyallah aku telah mula mempraktikkannya sejak awal Ramadhan lagi...

*************************************************************************************
Dalam dingin subuh hatiku terusik
kenang nasib diri di rantauan,
bergema takbir raya menitis airmata,
terbayang suasana permai desa,
rindu hati ini inginku kembali,
pada ayah bonda dan saudara,
tetapi aku harus mencari rezeki,
membela nasib kita bersama.
Hanya ku sampaikan doa
dan kiriman ikhlas
dari jauhku pohonkan ampun maaf,
jgn sedih pagi ini tak dapat kita bersama
meraikan aidil fitri yg mulia,
restu ayah bonda ku harap selalu
hingga ku pulang kepadamu..

ps...Raya masih jauh namun aku sangat suka mendengar lagu Allahyarham Sudirman ini, cukup menyentuh hatiku...tanpa sedar airmata mengalir, segala kenangan bersama arwah dulu menjelma kembali....tiba2 rasa rindu nak berbuka dan bersahur bersama mak dan abah..namun apakan daya....

Monday, August 09, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak.

Bismillah.

Sehari saja lagi seluruh umat Islam di dunia akan menyambut bulan yang sangat dinanti2kan iaitu Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Alhamdulillah kita dapat bertemu lagi Ramadhan kali ini. Mudah2an Ramadhan kali ini lebih baik dari sebelumnya dan kita akan bertemu Ramadhan akan datang. Insyallah

Di kesempatan ini aku ingin mengucapkan selamat berpuasa kepada semua sahabat2 yang sudi menjadi pengikutku di blog ini dan juga pengunjung2 yang sudi bertandang di sini....

Tuai padi antara nampak
esuk jangan layu2an
intai kami antara nmpak
esuk jangan rindu2an

Kepada kakcikseroja - aku sangat terharu kerana kesudian kakcik hendak singgah di rumah aku semata2 mahu menghantar buah mangga yang kakcik postkan dalam entry beliau.

Namun bukan rezeki aku kerana pada hari yang sama (ahad 8/8/10) aku tergesa2 balik ke Melaka melawat seorang saudara yang baru meninggal dunia.

Hajat hati hendak bertemu kakcik masih belum kesampaian..insyallah satu hari nanti pasti bertemu juga...



Kepada jejakadesa yang telah memberi award ini.....terimaksih aku ucapkan..aku telah dianugerahkan award ini walaupun aku baru sehari dua menjadi pengikut jejakadesa..jika anda ingin mengenali beliau silalah ke blog beliau.


Jika ada sumur di ladang
boleh kita menumpang mandi
Jika ada umur yang panjang
pasti kita bertemu lagi.

Saturday, August 07, 2010

Bagaikan Balik Kampung

Bismillah.

Suatu hari, Khalifah Sulaiman Abdul Malik singgah ke Madinah untuk bertemu dengan Ibnu Hazim, satu2nya sahabat Rasulullah SAW yang masih hidup ketika itu. Antara soalan yang dikemukakan Sulaiman ialah keadaan seseorang yang akan meninggal dunia.

Kata Ibnu Hazim. "Ada dua keadaan orang yang hampir meninggal dunia.

Pertama : Seperti seorang perantau yang balik ke kampung halaman untuk melihat hasil penat lelahnya selama ini. Dia diberitahu, semua yang dia hantar ke kampung ialah hasil kerjanya di perantauan. Kita dapat bayangkan perantau yang berjaya tentu mempercepatkan tarikh kepulangannya ke kampung. Tambahan pula jika dia tahu nahawa dia akan disambut orang kampung dengan riang kerana dia telah berjaya.

Kedua: dia seperti penjahat yang lari dari penjara, kemudian ditangkap kembali. Dia akan diheret ke mahkamah untuk pengadilan, diseksa dan dimasukkan semula ke tempatnya dengan kejam dan hina. Dapatkah kita bayangkan betapa takutnya dia?

Menangislah Sulaiman ketika mendengar penjelasan itu. Dia lalu berdoa kepada Allah,

"Ya Allah, janganlah Engkau jadikan aku ketika aku kembali kepadaMU seperti penjahat yang melarikan diri itu, kemudian ditangkap kembali"


ps sentiasa mengingati mati kerana mati adalah pasti.

sumber : MIDI

Hari ini............

Bismillah...

Doktor Fadillah Kamsah cakap...kalau nak datang keje esuk dengan ceria, sebelum tido set dalam kepala (niat) "Ya Allah andai aku panjang umur esuk, aku mahu bekerja dalam keadaan ceria dan pekerjaanku berjalan dgn baik dan lancar, tapi andaikata umurku tak panjang maka aku mohon kau matikanlah aku dalam iman" (gitu lah kira2nya)....bila aku dah ikut petua Dok Fadilah Kamsah..memang betul..aku rasa ceria dan bersemangat nak pegi keja pagi ni....
Sebelum ke tempat keja aku dah pekena dulu satu mug kopi radix...barulah segar dan ceria, jap lagi aku ke ofis, hari ni nak masuk pukul 10 pagi...(ofis sebelah pintu je 5 minit lagi sebelum pukul 10 aku pegi)

Ada orang tak suka bekerja waktu orang lain cuti..sebaliknya aku, aku memang suka bekerja semasa orang lain cuti kerana tiada gangguan dengan panggilan telefon dan sembang2 ofismate....aku juga dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada kerja2 yang aku buat..(al maklumlah buat bank recon ni kena fokus).
Antara keja2 yang aku dah set dalam kepala nak buat hari ni :
1. Bank reconcilition Mei dan Jun - (dah ogos ni)
2. Bayaran dermasiswa - sumbangan kepada anak anggota yg cemerlang dalam peperiksaan
3. Key in dalam sistem - bayaran pembiayaan Bai Al Inah (pinjaman peribadi)
4. Buat bayaran pembiayaan Al Baithaman Ajil - pinjaman barangan.
tu dia...ada 4 keja2 yang semuanya agak wajib aku settlekan sebelum Isnin...ok lah aku rasa dah nak pegi dah...mudah2an aku dapat siapkan keja2 ni sebelum pukul 4 petang, insyaallah...(insyallah petang ni nak ke putra jaya dengan mimi, tguk expo dekat masjid Tengku Mizan)
daaa.....

Thursday, August 05, 2010

Itulah Wanita...

Allah berfirman bermaksud :

Ketika Aku menciptakan seorang wanita
dia diharuskan untuk menjadi seorang yang istimewa.
Aku membuat bahunya cukup kuat untuk menompang dunia,
namun cukup lembut untuk memberi kenyamanan.

Aku memberinya kekuatan dari dalam
untuk mampu melahirkan anak
dan menerima penolakan yang seringkali
datang dari anak-anaknya.

Aku memberinya kekerasan
untuk membuatnya tetap tegar
ketika orang lain menyerah
dan mengasuh keluarganya
dengan penderitaan dan kelelahan
tanpa mengeluh.

Aku memberinya kepekaan
untuk mencintai anak-anaknya
dalam setiap keadaannya
bahkan ketika anaknya bersikap
sangat menyakiti hatinya.

Aku memberinya kekuatan
untuk mendukong suaminya
dalam kegagalannya dan melengkapi
dengan tulang rusuk suaminya
untuk melindung hatinya

Aku memberinya kebijaksanaan
untuk mengetahui bahawa
seorang suami yang baik
takkan pernah menyakiti hatinya
tetapi kadang menguji kekuatannya
dan ketetapan hatinya
untuk berada di sisi suaminya tanpa ragu

Dan akhirnya, Aku
memberinya airmata untuk dititiskan
dan ini adalah khusus miliknya
untuk digunakan bilapun ia perlukan

Kau tahu..kecantikan seorang wanita
bukanlah dari pakaian yang dikenakannya
susuk yang ia tampilkan
atau bagaimana ia menyisir rambutnya

Kecantikan wanita harus dilihat dari matanya
kerana itulah pintu hatinya
tempat di mana cinta itu ada.

ps....aku hanya wanita biasa

Wednesday, August 04, 2010

Bestnya cuti..........

Bismillah....

26 Mei - cuti terakhir aku sebelum aku cuti semula hari ini, dah lebih 2 bulan aku tak bercuti........bestnya cuti masa orang lain bekerja......lepas abdullah zaki ke sekolah, aku bermalas2 atas tilam....tak boleh lena sebab banyak keja yag mesti aku buat....aiman masih tidur lepas solat suboh tadi..takpe biarkanlah.

Sudahnya pukul 9.00 pagi baru aku bangun, basuh kain(mesin yg basuh) dan terus masak..lepas masak aku mula menyapu dan kemas apa yang patut..sambil2 tu buka pc...terjah rumah kawan2..masa nilah aku dapat ziarah banyak rumah..tapi memang tak boleh singgah semua rumah..tak terlarat.

Kira2 pukul 12.45, ofismate call ajak ke rumah tukang jahit baju (rumah sebelah ofis..jadi tkde masalah nak pergi dgn ofismate)...kebetulan aku pun nak hantar kain baju melayu anak2 dan kain adik yang dalam pantang...1/2 jam saja di rumah tailor dan kami ke BBST sekejap...ofismate singgah beli bihun sup dan ke MayBank.
Sampai di rumah aku solat zuhor..lepas tu mengadap makan tengahari...inilah lauk aku hari ini..ikan kerisi sambal dan goreng pucuk paku...sedapnya...simple tapi sangat memuaskan hati..
Masa di BBST tadi kereta parking betul2 depan orang jual durian..teruja betul aku.....masa kawan aku dalam bank aku terbeli juga 2 biji buah durian ni...Kawan aku gelakkan aku sebab kononnya terbeli durian ni...agak mahal bagi aku tapi hasilnya sangat berbaloi...3 ulas je aku dah tak mampu nak makan lagi...tebal..pahit2 manis..lemak berkrim disukai ramai....(teringat kat mak yang sangat suka makan durian).

Eh..dah nak petang dah...mengapa aku rasa masa terlalu pantas bergerak..banyak lagi keja2 aku yang tak settle...kain baju belum berlipat..kain yang dibasuh tadi baru je disidai....tak sempat pun nak lelapkan mata (tak baik pun tidur lepas waktu asar ni)....

Begini cepat masa bergerak....kita semakin tua..bila-bila masa saja akan meninggalkan dunia yang fana ini...tapi yang muda juga tak lari dari dijemput pergi..jadi perbanyakkanlah amal ibadat buat bekalan di sana nanti...(peringatan untuk diriku juga).

ps Ramadhan bulan yang paling baik untuk perbanyakan amal ibadat...kemudian diteruskan di bulan2 berikut..

Tuesday, August 03, 2010

Mereka Yang Ku Kenal...

Bismillah..

8 Mac 2008...lahirlah satu blog yang ku beri nama 'idalara', waktu itu nama ini cukup sinonim dengan diriku kerana keadaanku waktu itu yang masih terumbang ambing dan bagaikan layang2 terputus talinya...'ida' singkatan dari namaku dan 'lara' kerana beberapa tahun itu aku sering berada dalam keadaan sedih pilu dan rawan maka 'lara' paling sesuai untuk menggambarkan diriku waktu itu.

Alhamddulillah..lara itu telah lama sirna dari hidupku dan aku kini bahagia dengan apa yang Allah kurniakan kepadaku dan anak-anak....kerap ada yg bertanya mengapa menggunakan nama 'lara'..bukankah itu akan mengundang situasi sedih pilu dan rawan..sebenarnya tidak...itu hanya nama yang sudah teramat serasi denganku bukan mengambarkan keadaan diriku sekarang..

Selama 2 tahun lebih blog ini bernafas...Alhamdulillah aku sudah ada 252 pengikut (setakad malam ini) dan mugkin ramai juga silent readers yang singgah di 'rumah'ku ini...rasa terharu dan gembira setiap kali menjenguk 'rumah' ini ada tetamu datang bertanya khabar..kadang2 aku tak sempat membalas balik kunjungan kerana waktu yang amat cemburu..maafkan aku...insyallah aku pasti kunjungi semula bila ada waktu yang banyak.

Di sini..ramai yang aku kenal..berbagai rupa dan ragam, ada yang kerapkali singgah bertanya khbar walaupun kadang2 aku tak sempat membalas balik kunjungan, ada yang tak jemu2 memberi komen dan pandangan membina (jutaan terimakasih) dan ada juga sesekali memberi komen yang agak pedih (terimaksih juga) aku terima semuanya dengan hati yang terbuka.....

Bila waktu mengizinkan aku akan berblogwalking ke rumah teman2 blogger..follow dan bagi salam...kadang kalau sempat aku beri komen ringkas di entry mereka..bila mereka balas kunjungan dan menjadi pengikutku, aku akan meletak link mereka di blogku..dan sesekali singgah di blog mereka...jika ada waktu lebih kerap aku singgah...

Kadang tu aku singgah di blog blogger yang ada nama, yang famous, yang ada pengikut ribu2..follow dan bagi komen...sekali, dua, tiga....namun hampa kerana kehadiranku bagai semut hitam di malam pekat,..ye lah..siapalah aku....tidak glamour dan tiada nama....kesian kan......kehadiran sudahlah tidak diundang, tidak dipedulikan pula....takpelah..masih ramai yang sudi menerimaku...

Selain dari diaryku....di sini aku luahkan apa yang aku rasa, apa yang aku alami, apa yang berlaku di sekelilingku....sebagai manusia biasa yang lemah dan kerap melakukan kesilapan pasti aku ada (sengaja atau tidak sengaja) melukakan hati teman2 samada di blog atau diluar sana...yang mungkin juga terkena tempias dengan apa yang aku tuliskan di entri...aku mohon maaf dan insyallah selepas ini aku akan lebih berhati2 bila mahu menulis di sini...muga tiada hati-hati yang terasa dan terluka.

ps...apa ada pada nama....jika tiada budi dan bahasa.

Monday, August 02, 2010

Bukan Promosi.....(Resepi Almond London)

Bismillah....

Tak berapa hari saja lagi bulan Ramadhan bakal menjelma.......pada awalnya aku tidak bercadang mengambil tempahan almond london, tapi oleh kerana ada permintaan dari pelanggan tetap, maka tempahan aku ambil juga... kali ini tidaklah sebanyak tahun lepas.....sekurang2nya dapat juga duit poket untuk balik raya.
Harga tetap seperti tahun2 lepas walaupun ada beberapa barang yang mengalami kenaikan harga...satu botol yang mengandungi 50 biji - RM20.00(murahkan?)
Almond London ini baru pagi tadi (sebelum masuk ofis) siap aku celup dengan coklat kerana permintaan dari kawan2 ofis..untuk rasa, kata mereka...sebenarnya dibuat untuk sample permintaan dari cik mimi..pastrinya telah aku buat petang semalam.
Badam hancur yang telah dipanggang
Proses mencelup almond london..

Ada permintaan dari seorg kenalan di FB.(Cik Rose Flower) meminta resepi almond london....maka aku turunkan resepi almond london di sini, resepi ini tidak ada yg ditambah atau dikurangkan..semuanya sama seperti yang aku buat untuk tempahan.

Bahan-Bahan
1 ketul butter
1/2 cawan gula pasir halus@gula castor
1 biji kuning telur
tepung gandum secukupnya
1/4 cawan tepung jagung

Badam biji - bakar hingga rangup
badan hancur - panggang sebentar
coklat masakan
lemak sayur
paper cup

Cara-caranya

Kacau butter bersama gula hingga sebati
masuk kuning telur- kacau
masuk tepung gandum dan tepung jagung sedikit2 sambil dikacau rata.
tambah tepung hingga tidak melekat ditangan dan boleh dibentuk.

ambil sedikit pastri, salutkan badam dengan pastri dan bentukkan bujur dengan menggunakan tangan (kalau tak faham jgn malu2 tanya) buat hingga habis
bakar hingga kekuningan- biarkan sejuk.

masak coklat dengan cara double boiler masukkan sesudu teh lemak sayur (shortening) setelah coklat cair angkat dan mulalah proses mencelup seperti gambar di atas, angkat pastri yang telah dicelup dengan menggunakan penyepit dan masukkan ke dalam paper cup..tabur badan hancur sebelum coklat menjadi beku.

Masukkan 2 minit dalam peti sejuk untuk mengeraskan coklat...siap untuk dimakan...

Selamat mencuba..


ps..mudah2an rezeki setiap ibu yang seangkatan denganku bertambah sempena Ramadhan ini..insyallah.





Sunday, August 01, 2010

Ahli baru....

Bismillah...

Semalam aku balik ke Melaka...rasa rindu pada mak dan abah menggamit aku pulang, disamping itu juga mahu melihat ahli baru dalam keluargaku yang sudah 3 minggu dilahirkan.

Alhamdulillah tahun ini keluargaku menerima dua ahli baru...bertambah meriahlah keluarga mak dan abah dengan kehadiran Hannah Damia kira2 3 bulan lepas dan 3 minggu yang lepas adik perempuan aku yang bungsu selamat melahirkan anak ke 5 iaitu Hafizah Athirah.
Hannah Damiah kiri hampir sama besar dengan ahli baru yang masih dalam hari..Hafizah Athirah...
Wajah Hafizah Athirah yang baru berusia 3 minggu...alhamdulillah tak banyak ragam sepanjang waktu ibunya dalam berpantang.

Hannah Damiah semakin cerdik...selama hampir sebulan Hannah Damia berpisah dengan ibunya yang berkerja di Kelang..Hannah Damia terpaksa ditinggalkan bersama ibu saudara (kakak iparku) di Melaka......hari ini Hannah Damia akan dibawa ke Kelang tinggal bersama ibunya...alhamdulillah dapatlah seorang pengasuh dan setiap hari dapat bersama ibunya...muga2 kedua2 anak saudaraku yang comel ini bakal menjadi anak yang solehah satu hari nanti..insyaallah.


ps..Ramadhan bakal menjelma..mengapa hati dihimpit rasa pilu...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...